28/10/2010

...Berangkatlah...

Bismillah,


Salam wbt,

Berangkatlah menuju Allah, biar berat langkah kaki itu, biar dihujani bermacam-macam masalah, biar terlalu banyak kerja dunia yang perlu dihabiskan, biar banyak perasaan perlu dikorbankan, biar banyak duit perlu dikeluarkan, biar kesihatan tidak mengizinkan, berangkatlah apabila diajak untuk berangkat. Kerana kita tidak mengetahui bila lagi hidayah Allah akan datang.

Kerana Allah sudah bertanya kepada kita dalam salah satu ayat dari surat cintaNya kepada kita, ... p/s: nak baca full ayat nie sila buka Al-Quran..:-)

"...Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingakan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit." (9:38)

Adakah kita sudah berpuas hati dengan diri kita? Bukankah setiap dari kita berimpikan untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya?

Mari kita melupakan sebentar urusan dunia yang fana ini, kita renung kembali, bila kali terakhir kita betul-betul meletakkan Allah di hati, bila kita berfikir kembali tentang darjat kita sebagai seorang Hamba, dan bukannya pelajar, bukan anak dan bukan pemegang biasiswa. Kita renung kembali, adakah dosa-dosa yang kita lakukan tanpa kita sedar setiap hari mampu ditampung dengan amalan kita yang sedikit sekali selama ini.

Adakah kita sudah layak untuk memasuki syurga Allah jika tujuan hidup kita sendiri kita masih tercari-cari dan jika hidup kita tidak terurus?. Mungkin kita telah mengetahui tujuan hidup itu, tetapi adakah kita benar-benar memahaminya? Kerana pengetahuan sahaja tidak cukup tanpa disertai dengan kefahaman, kerana dengan kefahaman itulah yang akan menggerakkan anggota untuk melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dan meninggalkan apa yang sepatutnya ditinggalkan. Seorang hamba, jika sudah memahami apa sebenarnya Tuannya mahu daripadanya, sudah semestinya hamba itu akan buat apa yang difahaminya.

Ingatlah, seorang Muslim berbeza dengan bukan Muslim. Tapi jika hidup yang kita lalui selama ini kita berbuat sama dengan mereka, maka samalah sebenarnya kita dengan bukan Muslim. Kita bangun pagi, pegi kelas, balik kelas, makan dan tido balik. Semua orang begitu, sekali sekala cuba menghiburkan diri dengan internet, namun at the end kita tetap merasakan hidup ini kosong tak bermakna. Maka samalah kita dengan mereka jika hidup kita begitu.

Jika secara tiba-tiba kita teringat Allah, yakinlah, itu tandanya Allah ingin memberi hidayah kepada kita. Sakit itu penghapus dosa, biar lah apa jenis sakit sekalipun, Allah ingin kita kembali mengingatiNya. Dengan sakit itu juga Allah ingin kita merenung sejenak memikirkan kembali kebesaranNya.

Jom kita tinggalkan seketika urusan dunia, kerana urusan itu boleh kita ketepikan sementara, sebab kita sering membuang masa melakukan perkara yang tidak sepatutnya kita lakukan instead of menyiapkan tugasan dunia tersebut. Lebih baik jika masa itu kita sama-sama fokus kepada seruan Allah yang terdekat dengan kita. Kerana masa itu akan menjadi lebih bermakna, mungkin dari situ Allah akan memberi keberkatan masa kepada kita. Begitu dekatnya pertolongan Allah terhadap kita.

Mungkin dengan pengorbanan masa kita, kesihatan kita, duit kita dan segalanya itu bakal menjadi titik mula perubahan dalam diri kita, perubahan yang bukan hanya akan menguntungkan diri di dunia, malahan juga di akhirat Insya Allah, perubahan yang bukan disandarkan oleh perasaan main-main, disandarkan dengan keinginan untuk memuaskan hati orang lain, biar perubahan itu hanya perubahan kerana Allah.

Jom sama-sama menerima ajakan saudara-saudara kita yang sememangnya menyayangi kita dan ingin sama-sama masuk syurga bersama dengan kita. Sebab kalau kita sudah berpuas hati dengan kebaikan yang kita ada, maknanya itu tanda syaitan sedang menghasut kita untuk lebih menjauhi Allah. Renung-renungkan.

Wallahualam

1 comments:

kesomboyz.haneefa90 said...

“Siapa yang menolong agama Allah, Allah pasti bakal menolongmu.” Itulah janji Allah yang hanya sebagian kecil saja manusia tahu dan meyakininya.